Rasa resah dan gelisah selalu menghimpit diri?
Selalu berada dalam dilema yang tidak berkesudahan?
Ketahuilah, sesungguhnya kita sedang menghidapi penyakit “Jiwa Gelisah”.
Kita selalu mengharapkan semua perasaan itu hilang tanpa membebankan akal fikiran kita.
Di bawah ini, saya selitkan sebuah kisah sejarah yang boleh menjadi “Antibiotik” kepada diri kita semua…


“Pada satu hari, seorang lelaki datang bertemu dengan sahabat Nabi SAW yang bernama Ibnu Mas’ud R.A untuk meminta nasihat.
Katanya, “Wahai Ibnu Mas’ud, berilah nasihat yang dapat kujadikan ubat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini aku berasa tidak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiranku kusut; aku tidak berselera makan dan tidak nyenyak tidur.”

Maka Ibnu Mas’ud menasihatinya: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu ke tiga tempat; ke tempat orang yang membaca al-Quran, engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya. Engkau juga boleh pergi ke majlis-majlis ilmu yang mengingatkan hati kepada Allah, atau engkau cari masa serta tempat yang sunyi dan engkau berkhalwat menyembah Allah. Contohnya seperti di tengah malam, di saat orang sedang nyenyak tidur, engkau bangun mengerjakan solat malam, memohon kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurniaan hati. Seandainya jiwamu tidak terubat dengan cara ini, engkau minta kepada Allah agar diberi-Nya hati yang lain, sebab hati yang kamu pakai itu, bukan lagi hatimu.”

Setelah pulang ke rumahnya, sahabat itu pun mengamalkan nasihat yang diberi kan Ibnu Mas’ud r.a itu. Dia mengambil wudhuk dan membaca al-Quran dengan khusyuk. Selepas itu dia merasai jiwanya aman dan tenteram, fikirannya tenang dan kegelisahannya hilang.”

Sudahkah kita ketahui “treatment” yang boleh digunakan untuk mengubati penyakit “Jiwa Gelisah” yang melanda diri kita semua…? Saya berharap kita semua akan sembuh segera dari penyakit yang tidak berkesudahan ini…
               
                 




Astaghfirullah al azim…
Ayat ini selalu membasahi bibir kita setiap hari. Tetapi tahukah kita semua, sebaris ayat ini mampu mengubah aura diri kita…?? Contohnya, ketika kita sedang dibelenggu perasaan marah, cuba kita beristighfar, insyaallah kita akan berasa tenteram dan kemarahan kita akan mula berkurangan. Ayat yang membawa maksud “Aku mohon ampunan kepada Allah Yang Maha Agung” sangat-sangat membawa perubahan yang besar dalam diri kita andai kita sentiasa mengamalkannya tanpa rasa jemu. Di bawah ini terdapat sebuah cerita yang sudah acap kali kita dengari mengenai kelebihan beristighfar.

Seseorang pernah mengadu dia kelaparan kepada Hassan Al-Basri. Maka beliau berkata kepadanya, “Beristighfarlah kepada Allah!” Seorang lagi mengadu tentang kefakirannya, maka beliau juga berkata, “Beristighfarlah kepada Allah!”

Yang lain berkata kepadanya, “Berdoalah kepada Allah agar dia menganugerahkan aku seorang anak!” Maka Hassan Al-Basri berkata kepadanya, “Beristighfarlah kepada Allah!” Seorang lagi mengadu mengenai kegersangan kebunnya, maka respon beliau juga sama, “Beristighfarlah kepada Allah!”

Lalu Rabi’ Bin Sabih berkata kepada beliau, “Beberapa orang telah mendatangimu mengadukan pelbagai perkara, tetapi engkau hanya menyuruh mereka agar beristighfar?”

Hassan Al-Basri menjawab: “Apa yang aku ucapkan itu sedikit pun bukan dari diriku sendiri. Sebab Allah berfirman dalam Surah Nuh; Maka aku katakan kepada mereka: ”Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Nuh: 10-12)

Seseorang bertanya kepada Hassan al-basri, ”Tidak malukah salah seorang daripada kita kepada Rabbnya, jika dia berbuat dosa kemudian beristighfar, lalu melakukan dosa lagi, lantas beristighfar, dan demikian seterusnya?”

Maka beliau berkata kepadanya, “Syaitan ingin supaya dia dapat mengalahkan kamu dalam masalah ini. Kerana itu jangan sekali-kali meninggalkan istighfar selama-lamanya!!!”


Dengan ini, marilah kita sama-sama beristihgfar memohon keampunan daripada Allah SWT: 
“Astagfirullah al ‘Azim, Ampunilah Dosa Kami Ya Allah... Tutupi Aib Kami… Betapa Selama Ini Kami Mudah Tergelincir Dalam Dosa Namun Tak Bersegera Memohon Ampun Kepada-Mu. Ameen…”

                                     

video
                                        


Entry aku pada kali ini adalah sekadar penambah perisa dalam blogku ini yang jarang-jarang sekali diusik semenjak bekerja ini. Di sini, aku hanya ingin berkongsi apa yang aku pernah baca di dalam sebuah novel ringkas karya saudari Fatimah Syarha. Penulis yang berbakat besar dalam bidang penulisan Islamik. Bait-bait kata peringatan dibawah ini adalah sekadar perkongsian daripada insan yang merasakan perlu untuk mengingatkan sesama saudara seIslam. Beliau telah memberi sedikit nasihat di dalam novel ringkas beliau yang bertajuk “Pemilik Cintaku” yang mana terdapat nasihat beliau yang sangat berbekas di hatiku sehingga kini.


“Jika kau belum berkahwin, kejarlah Allah SWT sebelum mengejar cinta lelaki. Tanpa redha Allah SWT, andai dirinya kau miliki sekalipun, kau pasti tidak akan bahagia. Percayalah… Sia-sia segala usaha yang kau curahkan atas dasar maksiat. Ianya hanya akan meluputkan berkat daripada hidupmu.

Kerana asyik bercinta, mungkin juga jodohmu menjadi lambat kerana kebanyakan lelaki hanya ingin mengambil kesempatan berseronok dengan gadis yang mudah menyerah. Habis madu sepah dibuang merata-rata. Jika ingin mencari isteri pula, biasanya mereka akan mencari gadis yang terpelihara dan terjaga.

Jika kau seorang isteri, hargailah suamimu walau bagaimanapun keadaannya. Cukuplah dengan apa yang dia mampu berikan dan jangan sesekali meminta diluar kemampuannya. Hatta, walaupun mereka mampu memberikan segala-galanya padamu. Jangan sesekali menunjukkan peribadimu yang cintakan dunia kepadanya. Ia tidak akan membahagiakan.

Jika kau seorang suami, tiada resepi paling berkesan untuk bahagia melainkan kau mendekati ajaran agama dan meminpin seisi rumahmu ke arahnya. Semoga cintamu berkekalan sehingga ke  syurga.”



Inilah bait-bait kata yang aku akan jadikan pegangan bagi memilih pasangan hidup dalam era moden kini. Bukan mudah dan senang dalam mencari jodoh seperti situasi membeli ikan di pasar. Sedangkan jika kita ingin membeli ikan sekalipun, kita akan memilih yang segar dan tidak busuk, seperti juga dalam memilih pasangan hidup... Seperti berfirman Allah S.W.T, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur’:26)
     
              






Kata ilmu dalam bahasa Arab ialah "ilm” yang bermaksud memahami, mengerti, atau mengetahui. Dalam erti kata lain, ilmu pengetahuan dapat ditafsirkan sebagai memahami suatu pengetahuan, dan ilmu sosial pula dapat ditakrifkan sebagai mengetahui masalah-masalah sosial, dan sebagainya.

Definisi ilmu bergantung pada cara kerja indera individu masing-masing dalam menyerap pengetahuan dan juga cara berfikir setiap individu dalam memproses pengetahuan yang diperolehnya. Selain itu juga, definisi ilmu biasanya berlandaskan aktiviti yang dilakukan oleh ilmu itu sendiri. Kita dapat melihat hal itu melalui cara yang digunakannya...



Sabda Rasulallah Saw
“Ilmu yang sedikit lebih baik berbanding ibadat yang banyak. Memadai kefahaman seseorang dengan mengabdikan diri kepada Allah. Dan cukuplah kejahilan bagi seseorang apabila dia mengagumi pendapatnya sendiri.”

Petikan Kata-Kata: Abdullah Bin Abbas
“Ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir.”

Abu Darda R.A
“Ilmu adalah pengertian dari hasil penilitian, jalan mencapai tujuan, makrifat untuk membuka tabir hakikat, landasan dalam perbuatan dan tindakan, daya fikir dalam mencapai kebenaran dan moto kehidupan yang disinari iman dalam melaksanakan amal bakti kepada Allah Ar Rahman.”

Imam Al Ghazali
“Ilmu itu berasal dari akal, sebagaimana buah-buahan yang berasal pokok, sinar dari matahari dan penglihatan dari mata.”

Mu’adz Bin Jabbal
“Ilmu pengetahuan adalah kawan di waktu sendirian, sahabat di waktu sunyi, petunjuk jalan kepada agama, pendorong ketabahan di saat dalam kekurangan dan kesukaran.”

Imam Syafii’
“Barang siapa yang tidak menjaga dirinya, maka tidak bergunalah ilmunya.”

Kata-Kata Bijak Pandai
“Tanda akal seseorang itu ialah pekerjaannya. Tanda ilmu seseorang itu ialah perkataannya.”