Wanita dan solat

Budaya yang baik pada asalnya ini sedikit sebanyak mula mendatangkan kesan yang agak negatif kepada wanita Islam masa kini yang bergerak aktif dalah kehidupan seharian. Ini kerana pemahaman budaya tersebut telah disalahertikan oleh wanita kini tanpa melihat dari aspek ilmu Islam yang sebenar.

Disebabkan itulah muncul pelbagai alasan yang tidak munasabah apabila tibanya waktu solat. Ada sebahagian wanita yang mengabaikan solat apabila berada di luar rumah contohnya di pusat membeli belah, tempat kerja dan sebagainya dengan beralasan tidak membawa telekung. Ada juga yang memberi alasan telekung yang disediakan di masjid mahupun surau itu agak kotor dan tidak sesuai.

Sedangkan pemakaian telekung itu bukanlah syarat sahnya solat seseorang wanita. Bagaimana keadaan wanita yang berada di luar daripada negara Nusantara. Mereka tidak pernah mengenal erti telekung. Disebabkan itulah ramai dikalangan wanita Nusantara merasa pelik dengan pakaian wanita Muslimah di negara barat, China, India mahupun Timur Tengah.

Sebenarnya syarat dalam pakaian sembahyang adalah cukup dengan menutup aurat dan hendaklah pakaian itu bersih dari sebarang najis. Bukanlah telekung berwarna putih itu menjadi syarat sahnya sembahyang.

Andainya seorang wanita itu berpakaian baju kurung atau pakaian yang menepati syarat aurat, walaupun ianya berwarna warni, maka tetap sah solat mereka. Menurut jumhur ulama, yang diwajibkan wanita dalam solat adalah memakai baju dan tudung kepala. Maka Ibnu Munzir berpendapat, "Jika kain yang dipakai cukup luas lalu ia menutupi kepalanya dengan kelebihan kain itu, maka ianya dibolehkan.

Aurat wanita ketika sembahyang sama sahaja seperti aurat wanita di luar sembahyang. Sepertimana batasan aurat wanita yang digunapakai oleh masyarakat di Malaysia dengan merujuk kepada pandangan Mazhab Syafie iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Berasaskan kepada pandangan ini, tidak semestinya telekung sahaja yang boleh dijadikan pakaian sembahyang. Baju kurung, jubah, blaus juga boleh dijadikan pakaian sembahyang walaupun ianya bukan berwarna putih.

Lelaki dan Solat

Manakala bagi lelaki pula, kebersihan, kecantikan dan wangi-wangian menjadikan sembahyang mereka lebih baik pada zahirnya disisi Allah SWT. Ini kerana situasi menghadap Pencipta Yang Maha Agung itu memerlukan lebih berketerampilan berbanding berhadapan manusia lainnya.

Namun, berpakaian yang elok itu tidaklah semestinya mewajibkan kepada mereka berkain pelekat, berjubah, baju melayu dan sebagainya. Ada juga yang meninggalkan sembahyang kerana beranggapan pakaiannya kotor dengan peluh. Kotor dengan minyak kereta kerana bekerja sebagai mekanik. Kotor dengan lumpur kerana baru pulang dari kebun dan sebagainya.

Sedangkan, syarat sah solat ialah pakaian tersebut hendaklah bebas dari sebarang najis. Kotor tidak bermaksud ianya bernajis. Jadinya disini, seorang yang dalam keadaan berpeluh sesudah bersukan boleh menunaikan solat tanpa menukar pakaiannya.

Di dalam kitab Fathul Bari karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani telah mengambil riwayat dari Ibnu Hibban mengatakan bahawa Muawiyah bin Abu Sufyan bahawasanya ia bertanya kepada saudara perempuannya (Ummu Habibah), "Apakah Rasulullah pernah solat memakai pakaian yang digunakan ketika berhubungan dengan isterinya?" Ummu Habibah menjawab, "Ya, apabila Baginda tidak melihat sebarang kotoran di pakaian tersebut."

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa, selagi pakaian yang dipakai itu tidak jelas padanya najis yang boleh merosakkan solat, maka sah solat yang kita kerjakan dengan berpakaian biasa. Malah remaja lelaki yang berpakaian serba fesyen terkini, samada berseluar jeans, baju yang pelbagai bentuk warna juga boleh mengerjakan sembahyang tanpa merasakan janggal. Kerana Islam tidak pernah menyusahkan untuk melakukan sembahyang.

Bertemu cinta teragung

Di dalam sujudku asyik menyanjung

Umpama pengembara di malam gelita

Kandil cintaNya menerangi jiwa

Sekian lama terbiar

Dalam belantara hidup nan liar

Di bukit ku tersepit di lembah terhina

Hidup yang perit mengajarku mencari cinta

Kusangka teguh

Kiranya masih rapuh

Kusangka mudah namun amat payah

Kusedar semua pasti ada akhirnya

Moga akhirku diselimut cinta

Cinta agung-Nya

Sekian lama diri terlalai kehidupan terabai

Akhirnya aku temui kedamaian abadi


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Terima kasih sahabatku untuk segalanya. Memang benar kata hatiku, kau hanya tetamu hatiku yang datang dan pergi begitu sahaja. Maaf andai kata aku tersilap mencongak pada nilai kejujuran dan berterus terang. Sesungguhnya kau lah sahabat yang menunjuk jalan padaku tanpa sedarmu. Duhai sahabatku, dunia kita memang berbeza tetapi hidup kita seakan sama.

Kita mencintai ilmu dan itulah yang mendekatkan hatiku padamu. Aku dambakan perubahan positif dalam diri ini dan kita seiring sejalan mula berubah menjadi lebih baik. Perubahan inilah yang dituntut kerana tiada manusia yang sempurna hidupnya. Kehidupan sederhana dan dilingkumi ukhuwah yang terbina menjadikan hidup sangat bermakna.

Terima kasih kerana menyedarkan hakikat silaturahim itu. Malah kebahagiaan yang dicari sebenarnya tergumpal dalam hati melalui keimanan. Iman yang memberikan sumber inspirasi untuk menjadi hamba-Nya yang bersyukur dan tidak putus asa. Jika iman yang setipis kulit bawang ini tidak dijaga mungkin setiap insan akan tersasar dalam hidup hingga jauh daripada keberkatan Ilahi.

Jalinan ukhuwahmu membuatkan aku teringat pada bait-bait ayat ini.

"Duhai wanita, jagalah pandanganmu dan tundukkanlah hatimu dengan rasa keimanan yang teguh kepada Allah swt. Janganlah kau menyalahkan takdir atas perkara yang kau tidak sukai namun sebaliknya bersangka baiklah pada Tuhan sekalian alam. Mungkin apa yang disukai olehmu tidak menjanjikan kebaikan padamu dan mungkin yang kau tidak sukai itulah yang menjadi perkara terbaik bagimu."

Dua dunia yang berbeza diikat dengan satu kata, UKHUWAH atau persaudaraan Islam. Ada mulanya dan tiada penghujungnya, seperti seutas tasbih yang diikat kerana kasih sayang dan diratib demi mencapai redhaNya. Itulah kata-kata azimat yang akan ku pegang selamanya. Ukhuwah yang didasari kerana Allah s.w.t akan menjadi suatu ukuran terbaik dalam perhubungan. Maka aku berharap persaudaraan sesama Islam akan terus mekar tanpa henti. Hal ini sangat bersesuaian dengan penjelasan nabi junjungan kita Nabi Muhammad saw iaitu :

"Di sekeliling Arsy terdapat mimbar-mimbar dari cahaya yang ditempati oleh suatu kaum yang berpakaian dan berwajah (cemerlang) pula. Mereka bukanlah para nabi atau syuhada, tetapi nabi dan syuhada merasa iri terhadap mereka."

Para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami tentang mereka." Baginda menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai, bersahabat, dan saling mengunjungi kerana Allah swt." (HR Nasa'i dari Abu Hurairah Radiallahu 'anhu)

Dengan itu walaupun kita sudah semakin jauh mengorak langkah menuju destinasi berlainan, aku akan tetap menganggap dirimu sebagai sahabat terbaikku.

Akhir kata, andai kita bertemu lagi, janganlah kau kenang perkara yang tidak baik tentang aku tetapi kenanglah perkara yang indah tentang kita. Apabila kita mulakan hidup baru, itu tidak bermakna memori lama akan terhapus tetapi ianya akan menjadi sebahagian kehidupan kita yang hakiki. Hakikat sebuah pertemuan yang manis dan akan kekal begitu.

Apapun terima kasih Ya Allah kerana menemukan aku dengan dia walaupun seketika. Selamat tinggal sahabat. Moga kau menemui pencarianmu...

"Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki."

Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa gunanya aku menjadi perhatian lelaki andai murka Allah ada di situ.

Apalah gunanya aku menjadi idaman banyak lelaki sedangkan aku hanya bisa menjadi milikmu seorang.

Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang bisa dimiliki sesuka hati.

Aku juga tidak mau menjadi penyebab kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan.

Bagaimana akan kujawab di hadapan Allah kelak andai ditanya? Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?

Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki dan menghias peribadiku karena itulah yang dituntut oleh Allah.

Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidak kunafikan sebagai remaja, aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahwa aku perlu menjaga perasaan itu karena ia semata-mata untukmu.

Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi labuhan lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang tulen.

Diriku yang memang lemah ini telah diuji oleh Allah saat seorang lelaki ingin berkenalan denganku. Aku dengan tegas menolak, berbagai macam dalil aku kemukakan, tetapi dia tetap tidak berputus asa.

Aku merasa seolah-olah kehidupanku yang tenang ini telah dirampas dariku. Aku bertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristigfar memohon ampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan.

Kehadirannya membuatku banyak memikirkan tentang dirimu. Kau kurasakan seolah-olah wujud bersamaku.

Di mana saja aku berada, akal sadarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang menggodaku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hatiku yang mengatakan lelaki itu bukan teman hidupku kelak.

Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana.

Tetapi aku juga punya keinginan seperti wanita yang lain, dilamar lelaki yang bakal memimpinku ke arah tujuan yang satu.

Tidak perlu kau memiliki wajah setampan Nabi Yusuf Alaihisalam, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman Alaihisalam, atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wassalam, yang mampu mendebarkan hati jutaan gadis untuk membuat aku terpikat.

Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Lauh Mahfuz, Allah pasti akan menanamkan rasa kasih dalam hatiku juga hatimu. Itu janji Allah.

Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu karena kita masih tidak mempunyai hak untuk membuat begitu.

Juga jangan melampaui batas yang telah Allah tetapkan. Aku takut perbuatan-perbuatan seperti itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.

Permintaanku tidak banyak. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari redha Illahi.

Aku akan merasa amat bernilai andai dapat menjadi tiang penyangga ataupun sandaran perjuanganmu.

Bahkan aku amat bersyukur pada Illahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, mengulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu.

Akan kukeringkan darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu impianku. Aku pasti berendam airmata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu kepadaku.

Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu karena dengan mencintai Allah, kau akan mencintaiku karena-Nya. Cinta itu lebih abadi daripada cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Seorang gadis yang membiarkan dirinya dikerumuni, didekati, diakrabi oleh lelaki yang bukan muhrimnya, cukuplah dengan itu hilang harga dirinya di hadapan Allah. Di hadapan Allah. Di hadapan Allah.

Yang dicari walau bukan putera raja, biarlah putera Agama.
Yang diimpi, biarlah tak punya rupa, asal sedap dipandang mata.
Yang dinilai, bukan sempurna sifat jasmani, asalkan sihat rohani dan hati.
Yang diharap, bukan jihad pada semangat, asal perjuangannya ada matlamat.
Yang datang, tak perlu rijal yang gemilang, kerana diri ini serikandi dengan silam yang kelam.
Yang dinanti, bukan lamaran dengan permata, cukuplah akad dan janji setia.
Dan yg akan terjadi, andai tak sama dgn kehendak hati, insyaAllah ku redha ketetapan Illahi..

Wahai wanita, ku ingatkan diriku dan dirimu, peliharalah diri dan jagalah kesucian.. semoga redha Allah akan sentiasa mengiringi dan memberkati perjalanan hidup ini.