Entry aku pada kali ini adalah sekadar penambah perisa dalam blogku ini yang jarang-jarang sekali diusik semenjak bekerja ini. Di sini, aku hanya ingin berkongsi apa yang aku pernah baca di dalam sebuah novel ringkas karya saudari Fatimah Syarha. Penulis yang berbakat besar dalam bidang penulisan Islamik. Bait-bait kata peringatan dibawah ini adalah sekadar perkongsian daripada insan yang merasakan perlu untuk mengingatkan sesama saudara seIslam. Beliau telah memberi sedikit nasihat di dalam novel ringkas beliau yang bertajuk “Pemilik Cintaku” yang mana terdapat nasihat beliau yang sangat berbekas di hatiku sehingga kini.


“Jika kau belum berkahwin, kejarlah Allah SWT sebelum mengejar cinta lelaki. Tanpa redha Allah SWT, andai dirinya kau miliki sekalipun, kau pasti tidak akan bahagia. Percayalah… Sia-sia segala usaha yang kau curahkan atas dasar maksiat. Ianya hanya akan meluputkan berkat daripada hidupmu.

Kerana asyik bercinta, mungkin juga jodohmu menjadi lambat kerana kebanyakan lelaki hanya ingin mengambil kesempatan berseronok dengan gadis yang mudah menyerah. Habis madu sepah dibuang merata-rata. Jika ingin mencari isteri pula, biasanya mereka akan mencari gadis yang terpelihara dan terjaga.

Jika kau seorang isteri, hargailah suamimu walau bagaimanapun keadaannya. Cukuplah dengan apa yang dia mampu berikan dan jangan sesekali meminta diluar kemampuannya. Hatta, walaupun mereka mampu memberikan segala-galanya padamu. Jangan sesekali menunjukkan peribadimu yang cintakan dunia kepadanya. Ia tidak akan membahagiakan.

Jika kau seorang suami, tiada resepi paling berkesan untuk bahagia melainkan kau mendekati ajaran agama dan meminpin seisi rumahmu ke arahnya. Semoga cintamu berkekalan sehingga ke  syurga.”



Inilah bait-bait kata yang aku akan jadikan pegangan bagi memilih pasangan hidup dalam era moden kini. Bukan mudah dan senang dalam mencari jodoh seperti situasi membeli ikan di pasar. Sedangkan jika kita ingin membeli ikan sekalipun, kita akan memilih yang segar dan tidak busuk, seperti juga dalam memilih pasangan hidup... Seperti berfirman Allah S.W.T, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur’:26)
     
              



0 comments: