Wanita dan solat

Budaya yang baik pada asalnya ini sedikit sebanyak mula mendatangkan kesan yang agak negatif kepada wanita Islam masa kini yang bergerak aktif dalah kehidupan seharian. Ini kerana pemahaman budaya tersebut telah disalahertikan oleh wanita kini tanpa melihat dari aspek ilmu Islam yang sebenar.

Disebabkan itulah muncul pelbagai alasan yang tidak munasabah apabila tibanya waktu solat. Ada sebahagian wanita yang mengabaikan solat apabila berada di luar rumah contohnya di pusat membeli belah, tempat kerja dan sebagainya dengan beralasan tidak membawa telekung. Ada juga yang memberi alasan telekung yang disediakan di masjid mahupun surau itu agak kotor dan tidak sesuai.

Sedangkan pemakaian telekung itu bukanlah syarat sahnya solat seseorang wanita. Bagaimana keadaan wanita yang berada di luar daripada negara Nusantara. Mereka tidak pernah mengenal erti telekung. Disebabkan itulah ramai dikalangan wanita Nusantara merasa pelik dengan pakaian wanita Muslimah di negara barat, China, India mahupun Timur Tengah.

Sebenarnya syarat dalam pakaian sembahyang adalah cukup dengan menutup aurat dan hendaklah pakaian itu bersih dari sebarang najis. Bukanlah telekung berwarna putih itu menjadi syarat sahnya sembahyang.

Andainya seorang wanita itu berpakaian baju kurung atau pakaian yang menepati syarat aurat, walaupun ianya berwarna warni, maka tetap sah solat mereka. Menurut jumhur ulama, yang diwajibkan wanita dalam solat adalah memakai baju dan tudung kepala. Maka Ibnu Munzir berpendapat, "Jika kain yang dipakai cukup luas lalu ia menutupi kepalanya dengan kelebihan kain itu, maka ianya dibolehkan.

Aurat wanita ketika sembahyang sama sahaja seperti aurat wanita di luar sembahyang. Sepertimana batasan aurat wanita yang digunapakai oleh masyarakat di Malaysia dengan merujuk kepada pandangan Mazhab Syafie iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Berasaskan kepada pandangan ini, tidak semestinya telekung sahaja yang boleh dijadikan pakaian sembahyang. Baju kurung, jubah, blaus juga boleh dijadikan pakaian sembahyang walaupun ianya bukan berwarna putih.

Lelaki dan Solat

Manakala bagi lelaki pula, kebersihan, kecantikan dan wangi-wangian menjadikan sembahyang mereka lebih baik pada zahirnya disisi Allah SWT. Ini kerana situasi menghadap Pencipta Yang Maha Agung itu memerlukan lebih berketerampilan berbanding berhadapan manusia lainnya.

Namun, berpakaian yang elok itu tidaklah semestinya mewajibkan kepada mereka berkain pelekat, berjubah, baju melayu dan sebagainya. Ada juga yang meninggalkan sembahyang kerana beranggapan pakaiannya kotor dengan peluh. Kotor dengan minyak kereta kerana bekerja sebagai mekanik. Kotor dengan lumpur kerana baru pulang dari kebun dan sebagainya.

Sedangkan, syarat sah solat ialah pakaian tersebut hendaklah bebas dari sebarang najis. Kotor tidak bermaksud ianya bernajis. Jadinya disini, seorang yang dalam keadaan berpeluh sesudah bersukan boleh menunaikan solat tanpa menukar pakaiannya.

Di dalam kitab Fathul Bari karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani telah mengambil riwayat dari Ibnu Hibban mengatakan bahawa Muawiyah bin Abu Sufyan bahawasanya ia bertanya kepada saudara perempuannya (Ummu Habibah), "Apakah Rasulullah pernah solat memakai pakaian yang digunakan ketika berhubungan dengan isterinya?" Ummu Habibah menjawab, "Ya, apabila Baginda tidak melihat sebarang kotoran di pakaian tersebut."

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa, selagi pakaian yang dipakai itu tidak jelas padanya najis yang boleh merosakkan solat, maka sah solat yang kita kerjakan dengan berpakaian biasa. Malah remaja lelaki yang berpakaian serba fesyen terkini, samada berseluar jeans, baju yang pelbagai bentuk warna juga boleh mengerjakan sembahyang tanpa merasakan janggal. Kerana Islam tidak pernah menyusahkan untuk melakukan sembahyang.

0 comments: